KL '98 yang terbaik sejak 1930 Ð FennelPENGERUSI Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Michael Fennel menganggap Sukan Komanwel XVI (KL '98) adalah yang terbaik pernah dianjurkan dalam sejarah temasya sukan empat tahun sekali itu sejak yang pertama pada 1930. Katanya, beliau amat berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab menganjurkan temasya edisi ke-16 itu buat pertama kali di Asia. ''Malaysia telah berjanji untuk menganjurkan temasya ini dengan penuh gemilang dan terbaik dan mereka telah berjaya mengotakan janji itu. ''Kita pasti berasa amat berbangga de-ngan kejayaan ini dan berbangga terhadap semua yang terlibat serta pertubuhan- pertubuhan yang bekerja keras menjayakan temasya ini. Bagi pihak CGF, terima kasih atas kecemerlangan penganjuran temasya ini,'' kata Fennel sewaktu berucap pada upacara penutup KL '98 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Upacara penutupan temasya selama 11
hari itu disempurnakan oleh Ratu Elizabeth II. Hadir sama
suami baginda, Putera Philips, Yang di-Pertuan Agong,
Tuanku Ja'afar dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Najihah
serta Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Fennel turut memuji penganjur kejohanan, Sukom Ninety Eight Berhad yang diketuai Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Hashim Mohd. Ali atas kelancaran perjalanan temasya tanpa wujud sebarang masalah. ''Terima kasih yang tidak terhingga kepada para pegawai yang memastikan temasya ini berjalan mengikut peraturan persekutuan antarabangsa, para sukarelawan yang membantu di semua venue, penyertaan dan kesungguhan atlet ketika bertarung. ''Juga kepada 70 kontinjen negara Komanwel yang menyertai temasya di sini yang menjadikannya temasya pertama yang mendapat penyertaan 100 peratus negara anggota,'' katanya. Menurut Fennel, para penaja juga menjadi nadi penting dalam penganjuran pesta sukan ini selain kerajaan Malaysia yang memberikan komitmen penuh. ''Temasya ini akan diingati sebagai pertandingan yang mempunyai standard dan semangat setia kawan tinggi yang pasti kekal di sanubari semua atlet serta pegawai bagi mengesahkan sukan ini sebagai pengerat persahabatan.'' |
KECEMERLANGAN KL '98 KEJAYAAN RAKYATSEKALUNG tahniah kepada rakyat Malaysia yang akhirnya berjaya membuktikan kemampuan dan kebolehan untuk menjadikan Sukan Komanwel XVI (KL '98) sebagai kejohanan yang gilang-gemilang. Sekali gus slogan 'Malaysia Boleh' terus tercanai sebagai bukti bahawa kita mempunyi keterampilan, karisma dan kewibawaan bertaraf dunia dari segi penganjuran temasya sukan kedua terbesar dunia. Kejayaan ini juga telah menghapuskan sama sekali tohmahan dan kata-kata memperlecehkan kemampuan oleh golongan tertentu yang tidak suka melihat negara kita cemerlang di peringkat awal dulu. Tidak terlalu awal untuk kita menyatakan rasa bangga terhadap keupayaan negara menjayakan KL '98. Selepas 10 hari, KL '98 bukan sekadar kejayaan kerajaan, Sukom Ninety Eight Berhad dan sektor korporat tetapi juga kejayaan bersama rakyat. Sebenarnya dalam menuju tarikh 11 September 1998, banyak pengalaman yang boleh dicatatkan. Sebaik sahaja Malaysia dipilih sebagai negara pertama di Asia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel yang terakhir pada alaf ini, kita mengharungi pelbagai cabaran bagi memenuhi tanggungjawab itu. Tidak dinafikan sebaik sahaja tuan rumah Sukan Komanwel XVI menjadi milik negara, kita berhadapan dengan banyak laporan negatif, seolah-olah Malaysia tidak mampu menjayakannya. Bermula dengan soal persiapan sehingga keadaan cuaca yang berjerebu, masalah air, kegawatan ekonomi dan kemelut politik, semuanya dijadikan isu. Apa yang jelas, Malaysia berjaya membawa 100 peratus penyertaan negara yang mewakili enam wilayah Komanwel iaitu Afrika, Amerika, Asia, Caribbean, Eropah dan Oceania. Kita bukan sahaja menang dari segi penganjuran tetapi juga tidak kalah di gelanggang. Semangat tuan rumah telah membantu atlet negara menyumbangkan sejumlah pingat yang tidak pernah diimpikan. Keupayaan menjadi penganjur KL '98 juga telah diiringi dengan keazaman atlet negara untuk bersaing hebat dengan atlet bertaraf dunia. Apa yang diharapkan, lebih 6,000 atlet dan pegawai yang menyertai kejohanan ini serta 500 juta penonton di seluruh dunia yang menyaksikan secara langsung sukan ini berpuas hati dengan penganjuran Malaysia. Dunia luar kini boleh melihat keupayaan Malaysia yang bukan sahaja mampu menyediakan prasarana sukan tetapi kemudahan-kemudahan sokongan lain yang membantu melicinkan lagi kejohanan ini. Usaha kerajaan selama ini tidak sia-sia walaupun telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak bagi menganjur dan mengendalikan sukan ini. Diharapkan matlamatnya ingin 'menjual' Malaysia kepada masyarakat dunia tercapai bagi membantu industri pelancongan. Pelaburan kita bukan sekadar menyediakan prasarana sukan yang tercanggih tetapi pada masa yang sama turut menyediakan sistem pengangkutan yang menjadi perkhidmatan sokongan bagi melicinkan lagi acara ini. Jelaslah sistem pengangkutan yang disediakan untuk kejohanan ini berjaya mematikan kebimbangan ramai bahawa Kuala Lumpur akan menjadi bandar raya yang paling sesak apabila kejohanan besar itu berlangsung. Rakyat Malaysia juga memberi sokongan kepada kemudahan ini dengan menggunakan perkhidmatan sistem transit aliran ringan dan komuter bagi menyaksikan acara-acara yang dipertandingkan. Kejayaan atlet kita merangkul pingat emas dan gangsa dalam acara yang sebelum ini hanya menjadi impian seperti tinju dan lumba basikal memberi anjakan paradigma kepada bidang tersebut. Syabas, kepada rakyat Malaysia seluruhnya. Kita mampu melakukannya dan Malaysia menjadi tuan rumah mana-mana kejohanan sukan asal kita 'Bersatu Selamanya' seperti lagu tema KL '98. |
TEMASYA PALING GEMILANG BERMULASUKAN Komanwel XVI atau Kuala Lumpur '98 bermula dengan rasmi malam ini. Sebagai temasya kedua terbesar dunia - selepas Sukan Olimpik - penganjurannya merupakan satu lagi kejayaan besar Malaysia sebagai tuan rumah. Ini merupakan kali pertama temasya itu diadakan di benua Asia sejak ia bermula 68 tahun lalu dan ia juga mencatat sejarah sebagai sukan pertama disertai oleh kesemua 69 negara anggota Persekutuan Sukan Komanwel (CGF). Sebanyak 6,000 pegawai dan atlet mengambil bahagian dalam temasya terakhir abad ini. Pertandingan beberapa acara bermula semalam namun sukan ini bermula dengan rasmi selepas perasmian yang akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong malam ini. Bagi memeriahkan upacara pembukaan penganjur menyediakan berbagai acara menarik termasuk persembahan kebudayaan yang bertujuan menunjukkan kemesraan tuan rumah mengalu-alukan kedatangan tetamu daripada luar negara. Persembahan kebudayaan itu dibahagikan kepada dua segmen iaitu ''Selamat Datang Anda dan Semuanya'' selama 10 minit dan ''Aur Di Tebing'' selama 40 minit. Persembahan akan diakhiri dengan nyanyian lagu berentak ghazal bertajuk Dia Datang yang dinyanyikan oleh lima orang artis tempatan. Bagi rakyat negara ini dan peminat sukan, temasya ini menawarkan kesempatan terbaik untuk menyaksikan pesta sukan bertaraf dunia serta menikmati persaingan-persaingan menarik di medan-medan permainan. Sukan Komanwel merupakan gelanggang yang membantu menonjol bintang-bintang terkemuka seperti peninju Lennox Lewis dan Azumah Nelson dan di KL'98 juga kita yakin jaguh-jaguh baru akan muncul. Ketiadaan bintang ternama seperti Frankie Fredericks dan Colin Jackson dalam olahraga dirasakan tidak sama sekali melenyapkan kemeriahan pertandingan itu. Malah ia memberi laluan kepada kemunculan generasi baru pelari-pelari yang bakal menguasai pentas dunia dalam dekad akan datang. Bagi para atlet negara, peluang mengambil bahagian dalam temasya ini tentunya amat membanggakan. Selain diberi penghormatan mewakili negara, atlet negara juga berpeluang menilai keupayaan masing-masing berban-ding jaguh-jaguh daripada seluruh Komanwel. Selepas KL '98, para atlet Malaysia terpaksa bersiap sedia menghadapi Sukan Asia di Bangkok hujung tahun ini. Kita sebagai rakyat Malaysia tentunya bangga dengan sukan yang dulunya dikenali sebagai British Empire Games tetapi kini bertaraf kedua terbesar dunia - malah persaingan dalam sesetengah acara seperti skuasy dikatakan bertaraf dunia. Kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak bagi menganjur dan mengendalikan sukan ini kerana ia akan menjadi 'jendela' bagi dunia melihat Malaysia. Oleh itu kerana berharap menerusi KL '98 akan dapat 'menjual' Malaysia kepada dunia. Biarlah perbelanjaan besar yang telah kita taburkan itu akan menjadi satu aset pelaburan jangka panjang. Harapan kita semoga selepas KL '98, kemasukan pelancong asing akan meningkat kerana ada di antara mereka yang berada di negara kita semasa KL '98 akan datang lagi membawa bersama mereka rakan dan taulan. Dalam pada itu rakyat juga mempunyai peranan penting dalam menjayakan kejohanan ini dengan turun beramai-ramai ke setiap gelanggang bagi menyaksikan persaingan menarik dan hebat di samping memberi sokongan moral kepada atlet negara. |