Berita Harian
Jumaat 2 Oktober 1998 11 Jamadilakhir 1419


 

Petugas Sukom '98 dapat tawaran

SELEPAS berakhirnya Sukan Komanwel ke-16, pelbagai petugas yang menjayakan temasya sukan itu, menerima tawaran kerja daripada penganjur beberapa kejohanan utama termasuk Sukan Sea, Olimpik Sydney 2000 dan Sukan Komanwel 2002.

Sesetengah kakitangan daripada Sukom Ninety Eight Berhad juga diperlukan beberapa negara membangun seperti Bermuda dan Fiji bagi membantu mereka mengaturkan program.

Sukom, yang mempunyai kira-kira 200 kakitangan sepenuh masa ketika mengendalikan temasya berkenaan, dijangka menamatkan perkhidmatan kakitangannya menjelang Mac tahun depan malah ada antara mereka yang sudahpun mula meninggalkan syarikat berkenaan.

Antara mereka yang menerima tawaran adalah daripada bahagian sumber manusia (HRD) dan jabatan komunikasi.

Eksekutif jabatan komunikasi P Chelladurai, seorang veteran dalam dunia sukan Malaysia, berkata perwakilan asing yang menghadiri Sukan Kuala Lumpur '98 terpesona dengan kemampuan para pegawai tempatan.

"Mereka mahu kita bantu mereka menganjurkan acara-acara sukan utama di negara masing-masing dan juga dalam memajukan program sukan negara berkenaan," kata bekas penolong jurulatih pasukan Selagor tahun 80-an itu.

Katanya beberapa rakan sekerjanya di Sukom sudah menerima tawaran berkhidmat dengan Jawatankuasa Penganjur Olimpik Sydney 2000 dan juga Sukan Komanwel di Manchester dalam masa empat tahun lagi.

"Seorang eksekutif di HRD ditawarkan jawatan menjaga sukarelawan bagi Sukan Olimpik 2000. Beberapa orang lagi turut ditawarkan dan mereka sedang menimbangkan tawaran berkenaan," katanya.

Dengan pengalaman dalam empat Sukan Sea, Chelladurai sendiri menerima tawaran bekerja di Bermuda, Fiji dan Brunei.

"Pegawai Bermuda dan Fiji mahukan saya membantu mereka dalam program-program pembangunan manakala Brunei pula sedang mencari rakyat Malaysia bagi membantu mereka menganjurkan Sukan Sea di sana tahun depan," katanya.

Di samping tawaran seberang laut itu, sesetengah pegawai Sukom juga dijangka 'dilamar' oleh Perbadanan Stadium Merdeka yang diberi tanggungjawab menguruskan Kompleks Sukan Nasional di Bukit Jalil. - Bernama

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Ekonomi | Pusparia | Sukan ]