![]() Kehadiran tiga jaguh dunia hidupkan KL '98TERNYATA kehadiran Ato Boldon, Frankie Fredricks, Obadele Thompson - yang merupakan tiga jaguh pelari pecut dunia, menjadi penyelamat dan tarikan kepada acara olahraga yang dipertandingkan selama enam hari pada Sukan Komanwel XIV KL '98 yang berakhir kelmarin. Kehadiran Boldon dari Trinidad & Tobago ke KL '98 berbaloi apabila dia berjaya mencipta nama sebagai jaguh pecut Komanwel di samping mencipta rekod baru dengan catatan 9.88 saat mengatasi rekod lama Linford Christie 9.91s. Sebelum temasya bermula, pertandingan olahraga KL '98 dianggap lesu tanpa jaguh dunia seperti pemegang rekod dunia, Donovan Bailey dan Frankie Fredricks yang mulanya enggan menyertai temasya ini. Bailey memberi alasan ingin memberikan tumpuan kepada kejohanan Grand Prix dunia sementara Fredricks berkecil hati dengan pemimpin negaranya dan hanya mengesahkan penyertaan di saat-saat akhir. Populariti Boldon, Fredricks dan Thomspon dari Barbados sebagai jaguh dunia menarik perhatian kira-kira 100,000 penonton yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil menyaksikan perlumbaan akhir acara 100 meter 17 September lalu. Selepas beraksi, ketiga-tiga atlet bertaraf dunia itu berlepas ke Tokyo untuk menyertai kejohanan di sana. Tanpa penyertaan tiga pelumba pilihan itu, acara 200 meter lelaki kurang menarik. Bagaimanapun pemenang acara itu, Julian Golding dari England masih mampu mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan 20.18 saat. Tanpa kehadiran atlet wanita terkemuka
dari Australia, Catherine Freeman yang cedera, kategori
wanita turut meriah dan mendapat sambutan dengan
kehadiran bintang-bintang dunia seperti Maria Mutola dari
Mozambique dan jaguh pecut kepulauan Carribean, Chandra
Sturrup dari Bahamas yang memenangi acara 100 meter. Maria turut mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan 1:57.60 saat dalam acara 800 meter dan ia merupakan kejayaan manis memandangkan KL '98 merupakan temasya Komanwel pertama yang disertai oleh Mozambique. Maruah Malaysia sebagai tuan rumah diselamatkan oleh G. Saravanan yang memenangi acara 50km jalan kaki. Kejayaan Saravanan itu boleh dianggap sejarah memandangkan negara belum pernah memenangi sebarang pingat acara olahraga sepanjang penyertaan pada temasya Komanwel. Jika diukur dari sudut prestasi sepanjang pertandingan selama enam hari itu, ternyata jurang perbezaan begitu ketara antara atlet-atlet negara dengan para atlet bertaraf dunia. Walaupun gagal memberi saingan, para atlet negara masih mampu mencatatkan masa terpantas peribadi. Seperti yang diramalkan Australia menguasai acara olahraga dengan 13 pingat emas, sembilan perak dan 12 gangsa mengatasi negara-negara lain yang mengambil bahagian. Barisan atlet wanita menyumbangkan sembilan pingat emas daripada 13 jumlah pingat emas yang dimenangi oleh Australia. Malah pemenang pingat gangsa 100 meter, Tania Van-heer menjadi pelari terakhir kedua-dua pasukan 4x100m dan 4x400m untuk meraih pingat emas. England menduduki tempat kedua dengan meraih 10 emas, 13 perak dan 8 gangsa. Kenya yang memang hebat dengan melahirkan jaguh-jaguh acara jarak pertengahan dunia menduduki tangga ketiga dengan tujuh emas, tiga perak dan tiga gangsa. Oleh: DAUD GHANI |